Latar belakang dan sejarah Dasar pelantikan pegawai perubatan berkontrak Malaysia

Dalam usaha penswastaan prasarana-prasarana utama negara oleh kerajaan Mahathir bin Mohamad pada 1990-an, sistem pendidikan tinggi juga dibuka kepada pihak swasta lalu menggalakkan penubuhan institut-institut pengajian tinggi swasta di seluruh negara serta memudahkan pemberian kelulusan kursus perubatan. Namun begitu, dasar ini menyebabkan penghasilan jumlah graduan bidang perubatan yang terlalu ramai berbanding dengan kapasiti sistem kesihatan negara.[1] Oleh itu, pada 2016, dasar doktor kontrak diusulkan oleh Perdana Menteri Najib Abdul Razak dalam belanjawan negara 2017,[2] dan bermula pada Disember apabila Menteri Kesihatan Dr. S. Subramaniam mengumumkan 2,600 lantikan pegawai perubatan atau doktor, pegawai pergigian dan pegawai farmasi dibuat secara kontrak.[3]

Sistem doktor kontrak terdiri daripada kontrak pekerjaan selama lima tahun oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), yang terdiri daripada dua tahun pegawai perubatan siswazah (housemanship) dan 2 tahun sebagai pegawai sebenar, dan ditambah setahun lagi sebagai pegawai "apungan". Menurut dakwaan para pegawai terlibat, pihak JPA berhak menamatkan kontrak tersebut pada bila-bila masa.[3] Sebuah gred pekerjaan khas diperkenalkan bagi para pegawai kontrak, yakni U41, berbeza dengan U44 bagi pegawai tetap. Gaji yang diperoleh para pegawai sedikit lebih rendah, iaitu RM364 kurang menurut Persatuan Perubatan Malaysia pada 2019.[4]

2020-an: Pandemik COVID-19 dan hartal pekerja

Sebagai langkah menanangi pandemik COVID-19 di Malaysia, pihak kerajaan pada April 2020 meluluskan penyambungan kontrak perkhidmatan 2,070 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi di bawah KKM untuk tempoh enam bulan untuk menjamin kelangsungan sistem kesihatan negara.[5] Selain itu, gred para pegawai perubatan kontrak juga dinaikkan agar semakin setaraf dengan gaji pegawai perubatan tetap,[5] sungguhpun ada dakwaan bahawa tiada peningkatan gaji diberikan.[6][7]

Menjelang lima tahun selepas pelaksanan dasar doktor kontrak, kontroversi doktor kontrak menjadi ketara pada Jun 2021 ketika para pegawai kesihatan mengugut untuk menjalankan suatu hartal (mogok buruh) bermula 26 Julai di seluruh negara untuk menuntut penghentian dasar dan penyelesaian masalah penyerapan para pegawai perubatan ke dalam sistem kesihatan negara. Hal ini berlaku susulan kenyataan oleh Menteri Kesihatan Adham Baba yang dilihat menyokong dasar doktor kontrak serta mendukung pelantikan probumiputera yang bersifat disktriminatif.[8] Susulan itu, dasar kontrak ini diutarakan semula sebagai perbicangan dalam kabinet untuk mencari penyelesaian.[9] Selain itu, pihak kerajaan membuka satu kontrak khas selama setahun daripada Disember.[10] Dalam beberapa hari sebelum mogok, para pegawai perubatan kontrak mula meletak jawatan atas kekecewaan dan kemarahan dengan masa depan pascakontrak mereka yang tidak menentu.[11] Sebagai usaha mengurangkan tekanan oleh para pegawai, pihak kerajaan pada 22 Julai mengurangkan tempoh pekerjaan mandatori daripada 24 ke 18 bulan; maknanya para pegawai kontrak diberi kelonggaran untuk tamat bekerja selepas bulan ke-18.[12]

Rujukan

WikiPedia: Dasar pelantikan pegawai perubatan berkontrak Malaysia http://cuepacs.blogspot.com/2021/03/contract-medic... https://www.astroawani.com/berita-malaysia/bajet-2... https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/... https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/... https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/... https://www.malaysiakini.com/news/580874 https://www.malaysiakini.com/news/582025 https://doktorkontrak.wordpress.com/ https://doktorkontrak.wordpress.com/2021/07/02/har... https://doktorkontrak.wordpress.com/2021/07/03/to-...